Pages

Wednesday, April 15, 2015

Menu kari pemikat hati

Hiburan - Utusan Online
ELIZAD tidak dapat menahan sebak sewaktu memeluk ayahnya pada                             
Sebahagian daripada rakan artis yang hadir majlis resepi Siti

Sejak empat bulan sah memegang status isteri membuatkan heroin siri Teman Lelaki Upahan, Siti Elizad Sharifuddin, 31, cuba mempertingkatkan kemahiran memasaknya terutama lauk berasaskan rempah kari memandangkan itu adalah kegemaran suaminya, Shamsul Baharin Rahman, 43.

Walaupun kedua-duanya mengamalkan diet pemakanan yang sihat dengan mengawal nafsu makan masing-masing, Elizad yang ditemui sejurus majlis resepsi pada hujung minggu lalu memberitahu bahawa Shamsul amat menggemari masakan kari dan mahu memastikan menu yang dihidangkannya menepati cita rasa si suami.

"Sebenarnya, kami berdua jarang makan bersama disebabkan kepadatan jadual kerja masing-masing. Apatah lagi, pada sebelah malam pula, kami cuba kurangkan makan makanan berat sebagai salah satu amalan rejim diet demi kesihatan bersama.

"Akan tetapi, andai ada masa terluang untuk dihabiskan bersama, saya akan masak makanan kegemarannya iaitu sebarang masakan berasaskan kari. Untuk memastikan suami tidak bosan dengan menu yang sama, saya cuba pelajari beberapa resipi lain yang menggunakan rempah tersebut.

"Alhamdulillah, sepanjang empat bulan kami duduk sebumbung, saya sempat juga menyediakan beberapa sajian dan dia menyukainya walaupun agak sibuk dengan jadual penggambaran yang padat," jelasnya yang anggun dalam persalinan songket kuning lembut, sementara Shamsul di sisinya segak mengenakan busana tradisi baju Melayu dengan samping songket berona sama.

Majlis resepsi Elizad dan Shamsul berlangsung di Kampung Pengantin yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur menyaksikan barisan selebriti seperti Ana Dahlia, Fikhree Bakar, Azhan Rani, Sherry Alhadad, Tun Nadia, Linda Hashim, Beego, Khalid Nazri, Fazlina Ahmad Daud dan Kuza hadir memeriahkan acara.

Pada masa yang sama, Shamsul yang agak pendiam berkata, sikap Elizad yang suka membulinya membuatkan dia jatuh hati terhadap wanita tinggi lampai itu.

Menjelaskan lebih lanjut, perangai isterinya yang sedikit kasar menjadi faktor utama dia terpikat selain sisi kewanitaan yang akan menonjol tatkala diselubungi kesedihan.

"Saya mula rapat dengan Elizad selepas arwah ibunya meninggal dunia pada tahun lepas. Masa tu, dia sangat sugul dan hilang semangat. Lagipun, sebagai kenalan lama dan kawan baik kepada abangnya, saya cuba beranikan diri merapati Elizad.

"Niat untuk memujuk dan menggembirakan semula hatinya yang bersedih kemudian bertukar rasa cinta setelah kerap meluangkan masa bersama. Lama kelamaan, hubungan kami makin serius apatah lagi ketika itu saya juga kesunyian kerana rumah tangga sebelum ini tidak bertahan lama," katanya menambah cerita.

Gambar FARIZWAN HASBULLAH

Dalam pada itu, memberi penjelasan kontroversi tentang majlis pernikahan mempelai berkenaan yang disorok daripada pengetahuan media, menurut Elizad perkara tersebut tidak perlu diperbesarkan kerana dia tidak berniat menyembunyikan majlis itu, tetapi terpaksa mempercepatkan demi mengikut kata bapanya.

"Kalau ikutkan, tarikh pernikahan telah beberapa kali ditunda sebab kesibukan kami berdua. Selepas itu, saya mula perasan sikap abah sedikit berubah dan sering 'menarik' muka.

"Daripada riak wajah abah, saya tahu ada sesuatu yang tidak kena. Apatah lagi dia tidak mahu bercakap banyak dengan saya. Sebab itu saya rasa bersalah sangat memandangkan saya anak tunggal perempuan dan satu-satunya zuriat abah yang masih belum berkahwin.

"Rupa-rupanya dia merajuk kerana telah menundakan tarikh pernikahan lebih daripada dua kali dan membuatkan hatinya terkilan. Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, saya cepat-cepat bincang dengan suami tetapkan satu tarikh dan adakan majlis kecil-kecilan seringkas yang boleh. Disebabkan itulah pernikahan kami tidak diuar-uarkan kerana tidak mahu ada pihak berkecil hati apabila tidak diundang," jujur Elizad menceritakan keadaan sebenar.

Pada masa yang sama, berbicara mengenai lokasi bulan madu pasangan tersebut, Shamsul menambah, dia mahu menunaikan impian isterinya untuk menunaikan umrah. Oleh yang demikian, mereka memilih Kota Mekah sebagai destinasi yang bakal dituju untuk bermadu kasih di samping mengerjakan ibadah.

"Bagaimanapun, Elizad terikat dengan penggambaran drama bersiri sehinggalah menjelang puasa nanti. Kami belum menetapkan sebarang tarikh dan mahu pastikan betul-betul jadual kerja supaya ia tidak mengganggu niat murni ini," jelasnya.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu diijabkabulkan dengan sekali lafaz sahaja pada 11 Januari lalu di Masjid Wilayah, Jalan Duta berwalikan ayah Elizad sendiri, Sharifuddin dengan mas kahwin RM777.

No comments:

Post a Comment