Pages

Sunday, April 19, 2015

Shah Rezza - 2015 tahun melaksanakan impian

Hiburan - Utusan Online

Raja Rezza Shah atau lebih dikenali sebagai Shah Rezza.
TRIVIA

MEMULAKAN kerjaya sebagai seorang model pada usia 14 tahun, perjalanan seninya terus berkembang apabila beliau sebagai pelakon.

Tidak hanya terhenti setakat itu, bintangnya semakin menyerlah apabila bakatnya dalam bidang nyanyian dicungkil dan mulalah kerjaya baharu sebagai seorang penyanyi.

Walaupun mungkin tidak sepopular seperti artis-artis tanah air yang lain, sekurang-kurangnya nama beliau masih lagi diingati dan dikenali ramai sehingga ke hari ini.

Hari ini, walaupun umurnya telah menginjak ke angka 54 tahun, Datuk Seri Raja Rezza Shah atau lebih dikenali dengan panggilan Shah Rezza masih lagi kekal dalam dunianya yang tersendiri.

Sekian lama 'menghilang diri' daripada dunia lakonan dan nyanyian, namanya tiba-tiba bangkit semula melalui Festival Fesyen Islam (IFF), satu gerakan yang mempromosi fesyen-fesyen Islam.

Sejak peragaan pertamanya pada November 2006, Shah Rezza dilihat tidak pernah gagal daripada menganjurkan festival tersebut setiap tahun.

Bukan sahaja dilihat sebagai seorang individu yang berjaya mengangkat martabat busana Muslimah ke peringkat antarabangsa, malah penglibatan beliau melalui IFF juga membawa nama Malaysia ke peta dunia.

Berbicara lanjut mengenai perkara tersebut, jelas anak bongsu daripada dua beradik ini, segala-galanya bermula selepas tragedi pengeboman di Amerika Syarikat pada 11 September.

Selepas kejadian tersebut, seluruh dunia seolah-olah menyalahkan dan mengaitkan umat Islam dengan keganasan.

Justeru, beliau terpanggil untuk menangkis persepsi tersebut melalui fesyen, yang sudah tentunya sinonim dengan kelembutan dan ketenangan.

"Penyertaan pelbagai bangsa, agama, dan negara telah menjadikan IFF satu platform berkesan untuk mewujudkan satu pesta fesyen yang positif, serta dapat menyumbang kepada pertumbuhan sosial dan budaya yang sihat.

"IFF juga berjaya membuktikan bahawa fesyen boleh dijadikan alat atau medan untuk bersatu, sekali gus menunjukkan kepada dunia bahawa aktiviti berlandaskan Islam tidak meminggirkan penyertaan dan penglibatan agama serta bangsa lain.

"Pergerakan fesyen ini juga merupakan satu platform yang memberi peluang kepada semua pereka fesyen untuk sama-sama terlibat dan bekerjasama," ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Hari ini siapa sangka, selepas hampir 11 tahun penganjurannya, IFF dilihat sebagai satu festival fesyen Islam yang sangat dinanti-nantikan terutama sekali bagi pereka-pereka fesyen di seluruh negara.

Ini kerana, IFF bukan lagi sekadar satu pertunjukan fesyen busana Muslimah yang menarik, malah berjaya menampilkan 100 peratus jenama Malaysia.

Pada masa yang sama, acara itu juga mampu dilihat sebagai lebih daripada sebuah pertunjukan fesyen.

Rentetan daripada kejayaan itu jugalah pada tahun ini, Shah Rezza tampil dengan koleksi pakaian bercirikan Islam untuk lelaki.

Tidak hanya bertanggungjawab mengeluarkan pakaian tersebut, malah beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab mereka pakaian tersebut.

Bercerita lebih lanjut mengenai 'kerjaya' baharu itu, katanya, tahun ini beliau akan 'keluar' dengan pelbagai produk termasuk mengusahakan kembali perniagaannya sebagai perancang majlis perkahwinan, selain kekal menganjurkan IFF.

Menurutnya, kali terakhir dia menguruskan majlis perkahwinan ialah pada 2006, iaitu majlis perkahwinan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Beliau yang pernah membintangi beberapa filem antaranya Ali Setan pada tahun 1986 dan Marah-Marah Sayang (1987), berkata, walaupun sudah berjaya dalam bidang perniagaan, masih menyimpan keinginan mahu kembali aktif dalam industri seni.

"Tahun ini saya sudah berumur 54 tahun. Tahun ini juga saya akan laksanakan segala macam perancangan yang telah dibuat kerana masih ada cita-cita yang belum dicapai.

"Walaupun sudah lama meninggalkan dunia lakonan, perasaan rindu itu masih menebal dan saya merasakan tahun ini adalah tahun yang terbaik untuk saya kembali bergiat dalam industri seni.

"Ini kerana, selepas ini saya mempunyai perancangan yang lebih besar dan mungkin saya tidak lagi aktif dalam bidang seni seperti sebelum ini," tuturnya lanjut yang mula mencipta nama pada tahun 1980-an.

Sepanjang dua jam berbual mengenai kerjaya dan kehidupannya hari ini, Shah Rezza tidak ketinggalan ditanya mengenai latar belakang keluarganya.

Biarpun berasal daripada kerabat diraja Perak, Shah Rezza sebenarnya dibesarkan oleh nenda tirinya, Raja Perempuan Zainab di Kelantan.

Dibesarkan dan dididik dalam persekitaran istana yang penuh dengan protokol dan adat istiadat, menjadikan Shah Rezza seorang individu yang cukup berdisiplin.

Begitupun katanya, semua itu bukanlah penghalang baginya untuk bergaul dengan masyarakat luar kerana beliau turut didedahkan dengan kehidupan rakyat biasa dan bergaul rapat dengan mereka.

Pernah menjadi penasihat Muzium Kelantan dan Pengerusi Yayasan Kraftangan Kelantan, hari ini selain ingin mencapai cita-citanya, Shah Rezza dilihat ingin mengimbangi kehidupannya di dunia dan akhirat.

Menjelaskan perubahan-perubahan yang dibuat dalam hidupnya, beliau berkata, kesemua elemen-elemen itu terpendam dalam hidupnya dan menyerlah dalam fasa-fasa kehidupan yang berbeza.

"Transisi hidup saya tercetus daripada cara dan persekitaran saya dibesarkan dan minat yang mendalam dalam seni hiburan serta kebudayaan.

"Inilah diri saya yang sebenar, malah saya bersyukur kerana diberi peluang memenuhi minat sebagai penghibur, mengatur majlis, dan penyelidik.

"Apa yang saya ketahui dan pelajari, akan saya kongsi bersama orang di keliling saya sebagai ucapan terima kasih atas sokongan dan galakan yang telah diberikan selama ini," katanya yang turut memaklumkan, kini dalam perancangan untuk membina sebuah hotel IFF di Pasir Puteh, Kelantan.

Yang pasti, segala perancangan yang telah diatur akan dilaksanakan secara teratur dan satu persatu malah Shah Rezza juga akan pastikan tahun ini segala impiannya akan terlaksana.

No comments:

Post a Comment