KEPESATAN pembangunan teknologi tidak harus dipinggirkan, sebaliknya perlu dipandang sebagai satu kelebihan dalam usaha memperkasa dan memperluaskan lagi skop gerakan dakwah masa kini.
Kombinasi antara keduanya itu mampu menjadikan usaha penyampaian risalah Allah SWT kepada khalayak umum menjadi lebih cepat, tepat dan berkesan.
Antara teknologi yang menjadi tumpuan utama hari ini adalah bidang animasi. Ia menjadi lebih penting apabila kelompok khalayak yang paling dekat dengan bidang ini adalah golongan kanak-kanak dan peringkat remaja.
Sudah pasti, dengan acuan yang betul, mampu memberi corak yang positif terhadap pembangunan Islam pada masa depan.
Ini diakui oleh seorang pendakwah bebas, Amaluddin Mohd. Napiah atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Amal ketika ditemui di pejabatnya di Puchong, Selangor, baru-baru ini.
"Usaha itu perlu digarap sebaik mungkin bagi menakluk hati mereka agar terus terpaut dengan ajaran Islam yang sebenarnya," katanya yang aktif berdakwah melalui media hiburan, termasuk animasi sejak awal 2000.
Justeru, kaedah dakwah menggunakan animasi wajar diketengahkan untuk mendidik kanak-kanak kerana kelompok ini lebih mudah menerima mesej melalui kaedah tersebut.
Bukan setakat kualiti maklumat yang disalurkan dalam animasi tersebut dititikberatkan, malah ini merupakan satu cabang dakwah yang berkesan untuk menambat hati golongan muda dan kanak-kanak.
"Walaupun animasi semakin menjadi fenomena dalam negara, namun animasi Islam perlu diperkasakan untuk mewarnai dunia hiburan kanak-kanak agar mereka terdidik dengan ajaran Islam yang sebenarnya," ujarnya.
Fardu kifayah
Sambil mengakui bahawa industri animasi tempatan kekurangan kandungan animasi Islam tetapi Amaluddin menegaskan ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikannya.
Himpitan oleh dana atau sindiran daripada golongan tertentu adalah cabaran yang perlu ditangani secara bijaksana dan bukannya dijadikan alasan untuk mengalah.
Tidak kurang juga dibuat sebagai sebab untuk menyalahkan orang lain jika wujud pelbagai filem atau cerita animasi yang tidak bersesuaian dengan tuntutan agama dan budaya masyarakat tempatan.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.
"Cabaran itu ada. Tetapi kita kena teruskan dan lawan dengan sebijak mungkin. Ini adalah bidang fardu kifayah dan sekiranya tidak dibuat, kita semua akan menanggung dosanya.
"Hakikatnya, bidang animasi itu bukan hanya soal hiburan, seni Islam dan perniagaan tetapi ia berkait dengan pendidikan untuk golongan sasaran," katanya.
Namun, Amaluddin mengakui tidak mungkin usaha memperbanyakkan animasi berunsur Islam di pasaran tempatan itu mampu menjawab setiap kekeliruan yang timbul berkait dengan Islam.
Baginya, apa yang lebih penting adalah usaha tersebut dapat menanam nilai dan semangat Islam dalam kalangan kanak-kanak Islam yang sedang membesar.
Kalau mahu dilakukan melalui ceramah atau buku, ia mungkin agak berat untuk golongan kanak-kanak menerima dan memahami apa itu Islam.
"Tetapi lihat sahaja bagaimana animasi Barat yang ditayangkan di Malaysia berjaya mencetus fenomena luar biasa kepada anak-anak kita.
"Mereka bukan hanya gembira dengan animasi Barat itu tetapi boleh memahami dan mengingati apa mesej yang terdapat dalam animasi tersebut," katanya.
Ambil peluang
Ternyata penerimaan kelompok tersebut perlu dilihat serius oleh penggiat dan penyokong industri animasi bercorak Islam tempatan sebagai salah satu elemen dakwah yang penting hari ini.
Kita tidak seharusnya melihat penggunaan animasi untuk berdakwah daripada sudut pandangan yang sempit dan jumud. Tetapi kita perlu melihatnya demi kepentingan pengukuhan ummah pada masa depan.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya, Seni Dalam Islam berpandangan hukum membuat gambar bergantung kepada tujuan gambar itu dibuat, tempat letaknya bagaimana ia digunakan dan niat pembuat gambar tersebut.
Dengan kata lain, Amaluddin berkata, sesuatu perkara atau benda yang kita pegang untuk tujuan pendidikan adalah hukumnya harus di sisi Islam.
"Semua medium diharuskan selagi tidak bercampur dengan kandungan yang haram.
"Apabila ada peluang, mereka yang pakar perlu ambil peluang itu kerana ini adalah saham akhirat kita. Apa lagi setiap daripada kita memikul tanggungjawab untuk menyampaikan dakwah mengikut kesesuaian atau kemampuan masing-masing," katanya.
Pada masa sama, Amaluddin turut menyeru organisasi atau syarikat yang didukungi oleh individu Islam agar tampil menyalurkan dana bagi membantu usaha berdakwah melalui saluran animasi.
Ini kerana, tambahnya, pembikinan sesebuah animasi memerlukan kos yang agak mahal.
"Daripada segi kemahiran dan sumber tenaga, rasanya kita sudah tidak ada masalah kerana banyak universiti awam dan swasta telah ada menawarkan kursus-kursus berkaitan bidang animasi.
"Namun, yang menjadi persoalan hanyalah sokongan dan komitmen penyumbang dana bagi membolehkan animasi Islamik berada di arus perdana dalam industri animasi tempatan," katanya. - Gambar Mohd. Azim Abd. Rahman
Tonjolkan budaya, ajaran Islam
SEMENTARA itu, bagi Pengarah Animasi Khalifa Animation Sdn. Bhd., Karim Wahab menyifatkan sasaran kelompok kanak-kanak adalah perlu bukan hanya kerana ia adalah medium seni yang paling diminati mereka.
Malahan tambahnya, pembentukan minda yang setia kepada ajaran dan nilai Islam lebih mudah dilakukan di peringkat umur kanak-kanak berbanding tahap usia golongan lain.
"Saya akui ibu bapa memainkan peranan penting dalam kehidupan anak-anak mereka.
"Tetapi yang akan mendorong kanak-kanak itu sentiasa ingat kepada nasihat dan ajaran ibu bapa mereka adalah ikon yang muncul dalam cerita animasi berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, Puchong, baru-baru ini.
Khalifa Animation Sdn. Bhd. bertanggungjawab menerbitkan cerita animasi Aqil yang ditayangkan melalui saluran TV Hijrah dan Aqil musim kedua dijangka ke udara tidak lama lagi.
Animasi Aqil musim kedua itu tampil membawa kelainan dalam menyampaikan dakwah Islam kepada penonton. Di samping berhibur, terselit unsur-unsur nasihat serta ilmu agama yang boleh dijadikan panduan kepada semua.
Justeru, Karim berkata, adalah penting untuk melipatgandakan usaha memperbanyakkan produk animasi tempatan, khususnya yang berkonsepkan Islam supaya kanak-kanak mengenali jati diri mereka.
Usaha itu perlu supaya kanak-kanak Islam mempunyai alternatif untuk menonton cerita animasi yang ada di pasaran tempatan.
"Kita tidak mahu mereka hanya menonton produk animasi luar yang sudah pasti kandungannya mungkin lari daripada nilai-nilai Islam dan budaya tempatan.
"Kita tonjolkan budaya kita dan ajaran Islam. Biar mereka dapat belajar kerana ada masa-masa tertentu, khususnya apabila bersama kawan-kawan, animasi inilah akan mengajar apa yang boleh dan apa yang tidak," katanya.
Begitu pun, Karim mengakui bukan satu kerja yang mudah untuk menarik minat golongan kanak-kanak untuk meminati produk animasi yang dihasilkan pihaknya.
Tidak seperti golongan remaja atau dewasa, kelompok kanak-kanak akan lebih cepat merasa bosan jika produk animasi itu tidak menepati kehendak mereka.
"Lantaran itu, dalam hasil animasi akan cuba diselitkan elemen-elemen komedi dan penuh suspen untuk elak rasa bosan tetapi ia tidak keterlaluan atau tidak sesuai untuk mereka.
"Dengan kata lain, ada elemen komedi tetapi dalam masa sama mesej ajaran Islam perlu sampai kepada kanak-kanak," katanya.
Selaras dengan usaha itu, produksi animasi tidak seharusnya mengabaikan soal kualiti produk, sama ada daripada segi jalan cerita, watak atau latar belakang cerita animasi itu.
Ini kerana, Karim berkata, untuk bersaing dengan produksi luar, kualiti produk animasi tempatan perlulah lebih berdaya saing.
"Saya akui kos menerbitkan produk animasi adalah mahal tetapi ia tidak seharusnya menjadi alasan atau halangan, khususnya dalam soal untuk berdakwah.
"Saya percaya kerja-kerja dakwah bagi menyampaikan mesej Allah SWT dan Rasulullah SAW ada keberkatannya," katanya. - Gambar Mohd. Azim Abd. Rahman