Pages

Subscribe:

Tuesday, April 14, 2015

Lima Karnival JCorp bermula Jumaat di Muar

Wilayah - Utusan Online

Lima Karnival JCorp bermula Jumaat di Muar

KAMARUZZAMAN ABU KASSIM (tengah) menunjukkan logo rasmi Karnival

JOHOR BAHRU 13 April – Johor Corporation (JCorp) akan menganjurkan lima siri Karnival JCorp 2015 tahun ini dalam usaha membawa pelbagai maklumat kepada rakyat mengenai aktiviti perniagaan, penyertaan dalam pembangunan negeri serta tanggungjawab korporat yang dilaksanakan konglomerat negeri itu sejak ia ditubuhkan 45 tahun lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, siri pertama karnival diadakan di Dataran Tanjung Emas, Muar pada 17 hingga 19 April ini disusuli Dataran Segamat (22 hingga 24 Mei), Dataran Kluang (5-7 Jun), Dataran Kota Tinggi (7-9 Ogos) dan kemuncaknya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (6-8 November).

"Pelancaran Karnival JCorp 2015 dijangka disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika baginda berangkat menghadiri Majlis Jamuan Minum Teh dan Penyampaian Sumbangan/Bungkusan sempena Sambutan Kemahkotaan Sultan Johor Peringkat Daerah Muar pada jam 2.45 petang, 18 April 2015.

"Sempena sambutan Kemahkotaan Sultan Johor juga, semua siri Karnival JCorp 2015 akan menyediakan ruang khas bagi mempamerkan maklumat dan sejarah kemahkotaan serta penglibatan Sultan Johor dalam menarik pelaburan dan mewujudkan sistem tadbir urus negeri yang sebahagian kerangkanya terus diguna pakai sehingga hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Karnival JCorp 2015 di Menara KOMTAR JBCC, di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi JCorp, Zulkifli Ibrahim dan Pengurus Besar Perhubungan dan Komunikasi Korporat JCorp, Azman Tambi Chik.

Menurut Kamaruzzaman, karnival turut menampilkan pameran Pelan Suara Hati Johor yang disediakan Pejabat Menteri Besar Johor bagi membolehkan rakyat berkongsi aspirasi mengenai inisiatif kerajaan negeri merakyatkan pentadbiran serta mengutamakan keperluan rakyat dalam pembangunan dan prasarana awam di Johor.

"Segmen pameran Kumpulan JCorp pula melibatkan bisnes teras, pendidikan, bisnes intrapreneur, aktiviti tanggungjawab korporat, program keusahawanan sosial dan kebajikan waqaf, serta penyertaan organisasi bisnes amal (OBA) termasuk Koperasi Perbadanan Johor Berhad (KOPJCORP), MUTIARA Johor Corporation, Kulim Wildlife Defender (KWD) dan Women Onwards (WOW).

"Karnival JCorp 2015 adalah inisiatif 21 syarikat dalam kumpulan yang turut melibatkan aktiviti dengan pengunjung, promosi produk dan servis selain jualan serta demonstrasi kesihatan serta masakan selain melibatkan jualan oleh lima peserta industri kecil dan sederhana (IKS) Daerah Muar," katanya lagi.

Tambah beliau, dalam karnival tersebut, KFC dijangka menawarkan hampir 1,000 jawatan kosong di cawangan restoran itu di seluruh negara manakala lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang membina kerjaya dengan mengambil pelbagai kursus yang ditawarkan KPJ Healthcare University College (KPJUC) dan KFCH International College.

Ujar Kamaruzzaman, MUTIARA JCorp juga akan menyerahkan dua katil pesakit dan 10 kerusi roda serta barangan elektrik untuk wad pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Majlis Jamuan TEh dan Penyampaian Sumbangan/Bungkusan sempena Sambutan Kemahkotaan DYMM Sultan Johor Peringkat Daerah Muar.

"Turut memeriahkan acara sepanjang tiga hari karnival adalah berjalan 10,000 langkah, persembahan ghazal dan buskers, pertandingan kompang dan samrah. Astro pula akan menampilkan empat personaliti program realiti iaitu Imam Muda Omar Mohd. Mokhtar dan Pencetus Ummah Salman Maslori serta Ropie dan Bell daripada program Maharaja Lawak," katanya.

0 comments :

Post a Comment