BILA pelakon ini membuat keputusan untuk memberi hak penjagaan anaknya kepada bekas suami, ramai yang tertanya apa yang Erra Fazira mahu buktikan. Namun tiada siapa yang dapat menjawab apa yang bermain di fikiran Erra ketika itu. Masa berlalu dan kini sudah hampir satu tahun lebih dia bergelar ibu tunggal. Menyatakan kehidupannya cukup bahagia kini, ada kelebihan yang mahu dia tampilkan dalam kehidupannya dan bekas suami, Engku Emran.
Masih menjalinkan hubungan yang baik demi anak tunggal mereka Engku Aleesya, 6, ramai yang mula menyimpan impian agar keluarga ini kembali bersatu.
Pokoknya bukan itu yang mahu dibuktikan Erra. Memandangkan dia percaya kebahagiaan ini wujud hasil kesefahaman bahawa Aleesya layak mendapatkan sepenuh kasih sayang daripada kedua orang tuanya walaupun ibu dan ayahnya sudah bercerai.
"Orang tidak faham apa yang kami lalui. Kembali bersama mudah untuk diucapkan, tetapi bagi kami yang melaluinya tidak senang seperti yang diucap.
"Mana ada orang yang berkahwin mahu bercerai. Apa yang berlaku kepada kami pasti ada sebab. Jadi, saya minta orang faham," katanya.
Mengakui sedikit tertekan, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 41, meminta agar hubungan baiknya dengan Engku Emran tidak terus disalah sangka.
Malah pada ketika ini dia percaya kebahagiaan Aleesya harus menjadi fokus utama buat mereka berdua.
"Apa yang orang kena faham, hubungan baik saya dengan Emran akan berterusan sampai bila-bila sebab kami ada Aleesya. Kenapa perlu pertikai keadaan ini memandangkan kami selesa.
"Bila terus-terusan ada yang kata kenapa tidak kembali bersama, memang agak tertekan. Mungkin sebahagian mereka ini tidak dapat apa yang cuba disampaikan kami," katanya.
Jelas Erra, persepsi yang mengatakan pasangan yang sudah berpisah harus membenci satu sama lain tidak akan berlaku dalam hidupnya.
Malah katanya, dengan apa yang cuba ditonjolkan dia dan Emran seharusnya menjadi contoh yang baik buat mereka di luar sana.
"Ada sesetengah daripada mereka mampu melihat hubungan baik saya dengan Emran mampu membawa makna yang positif buat mereka yang percaya bercerai tidak semestinya bergaduh dan tidak boleh berbaik.
"Malah bila Emran dan saya sudah mempunyai keluarga sendiri juga suatu hari nanti, kami akan kekalkan hubungan ini," katanya.
Pilihan untuk terus baik dengan Emran memberi peluang buat anaknya Aleesya membesar dengan penuh kasih sayang.
Kata Erra, Aleesya sendiri sudah bersedia sekiranya ada di antara ibu atau bapanya yang mahu memulakan keluarga baharu.
"Saya dibesarkan seorang ibu tunggal. Jadi, saya biasa dengan keadaan ini. Sebab itu saya pastikan Aleesya dibekalkan dengan kasih sayang sepenuhnya. Apa yang berlaku antara kami saya akan terangkan kepada dia keadaan sebenar tanpa berselindung.
"Sebab itu Aleesya faham, malah saya selalu ingatkan dia juga bahawa suatu hari nanti jika saya atau ayahnya bertemu jodoh, tiada apa yang akan merubah keadaan ini," katanya.
Gambar Azlina Othman Reka bentuk Mastika mohamed
Dipilih menjadi juri Kilauan Emas musim kelima kata Erra peluang itu diterimanya setelah yakin dengan kemampuan diri. Bagaimanapun ada syarat dalam memastikan dia tidak dipersalahkan kemudian hari.
"Kalau soal vokal atau yang lebih teknikal saya tahu itu bukan kerja saya. Jadi ada juri yang lebih sesuai untuk lontarkan pendapat mereka kepada peserta.
"Saya hanya mengadili bahagian penampilan serta tahap keyakinan mereka di atas pentas. Sebab itu saya tidak fikir ada tekanan untuk menjadi juri dalam pertandingan ini," katanya.
Cukup dikenali sebagai antara wanita tercantik di Malaysia, pastinya penampilan Erra akan sentiasa menjadi perhatian dalam mana-mana rancangan. Menurut Erra untuk Kilauan Emas dia akan memastikan penampilannya lebih sesuai dengan program tersebut.
"Saya bukan sahaja menjadi juri untuk Kilauan Emas tetapi juga untuk Dewi Remaja, jadi apa yang akan saya kenakan bersesuaian dengan program tersebut," katanya.
Meniti kehidupan solo kini, Erra pernah memberitahu dia sebenarnya sedang mengenali seseorang. Bagaimanapun sehingga ke saat ini siapa sebenarnya lelaki yang dimaksudkan itu masih menjadi tanda tanya memandangkan Erra enggan berkongsi identiti teman istimewa itu. Puas dipujuk untuk mendedahkan siapa lelaki bertuah itu, ternyata Erra lebih tahu apa yang terbaik buat hubungannya.
"Sehingga kini kami dalam fasa mengenali, masing-masing juga sudah terlalu matang dalam menjalani kehidupan kini sebab itu kami tidak berjumpa.
"Saya tidak akan dedahkan siapa dia, cukup sekadar memberitahu kalau suatu hari nanti ada jodoh kami akan bersama," katanya.
Mengakui pendedahan dia kini sedang bersama seseorang bagi mengelakkan lebih banyak spekulasi, terang Erra mungkin dengan cara ini mampu memberi ketenangan buat dirinya.
"Mungkin dengan pengakuan saya ini tiada lagi kisah tidak benar mengenai cinta saya. Jadi saya ambil pendekatan mahu meletakkan noktah kepada itu.
"Bagaimana kami menjalinkan hubungan mudah. Bukan macam orang muda yang memerlukan keluar bersama atau tengok wayang bersama. Cukup sekadar hati masing-masing tahu," katanya.
Tidak berselindung mahu menambah zuriat, Erra percaya sudah menjadi impian mana-mana wanita jika diberikan rezeki begitu. Namun itu tidak membuatkan dia tergesa-gesa untuk mencari pengganti di saat ini.
"Saya pernah berkahwin dan kini sebagai seorang ibu tunggal komitmennya itu lebih banyak, jadi tiada tekanan untuk saya cepat-cepat berkahwin.
"Dia juga mempunyai kerjanya sendiri, jadi situasi ini buat kami memberi fokus buat kehidupan masing-masing dan menyerahkan segalanya kepada jodoh," katanya.
0 comments :
Post a Comment