Bukan kerana Eksperimen Cinta
PENAMPILAN pelakon Izreen Azminda yang mengenakan hijab baru-baru ini menimbulkan tanda tanya banyak pihak.
Lebih-lebih lagi, peminat yang mengikuti perkembangan semasa pelakon Kerana Terpaksa Aku Relakan itu menerusi akaun Instagram miliknya.
Bicara aktres berusia 30 tahun itu, dia sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk bertudung tetapi disebabkan komitmen lakonan yang begitu padat, maka dia terpaksa melupakan hajat itu seketika kerana tidak mahu menyusahkan banyak pihak.
"Tidak dinafikan selepas bergelar isteri, saya selalu diberikan watak baik dan disuruh bertudung. Disebabkan itu jugalah, lama-kelamaan saya semakin selesa dengannya dan semakin terbuka hati untuk berhijab.
"Saya yakin, tindakan bertudung tidak akan menutup pintu rezeki dalam industri lakonan kerana rezeki seseorang itu sudah ditentukan oleh Allah SWT berdasarkan usaha dan doanya," katanya yang menafikan tujuan berhijab itu adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan watak dalam drama terbaharunya, Eksperimen Cinta.
Jelasnya yang bergandingan dengan aktor kacak, Fahrin Ahmad dalam drama tersebut, jika dia takut periuk nasinya dalam bidang lakonan tertutup selepas bertudung, maka sampai bila-bila pun dia akan gagal bertudung.
Tambah ibu tunggal kepada Adrian Umar, 2, itu, sungguhpun begitu, dia masih belum bertudung sepenuhnya, tetapi dalam proses untuk mengenakan hijab dengan sempurna dalam masa terdekat ini.
"Insya-Allah, jika tidak ada aral melintang dan diizinkan Allah SWT, saya akan menutup aurat sepenuhnya selepas menjalani penggambaran Eksperimen Cinta yang dijangka tamat pada penghujung bulan ini.
"Bukan tidak serius, tetapi saya masih ada tuntutan watak yang memerlukan saya membuka tudung," ungkap Izreen yang mengharapkan sokongan peminat agar kuatkan hatinya menempuh fasa baharu dalam hidupnya.
Bercerita mengenai drama terbaharu yang akan mengisi slot Dahlia di TV3 itu, pelakon yang diberikan watak Damia Farisha itu mengakui seronok apabila mendapat peluang bergandingan dengan Fahrin Ahmad.
"Saya sangat selesa dan bertuah dapat bergandingan dengannya. Dia amat membantu dan tidak lokek memberikan tunjuk ajar," akhiri Izreen.
.com difahamkan, selain Izreen dan Fahrin, drama bersiri 20 episod itu turut diterajui aktres yang semakin meningkat naik, Faye Kusyairy. – DHIYA'ZULHILMI DAUD/ SHIDDIEQIIN ZON
It's me.
0 comments :
Post a Comment