Pages

Subscribe:

Sunday, April 19, 2015

Neelofa lali kritikan

Hiburan - Utusan Online

KUALA LUMPUR 15 APRIL 2015 - Sesi fotografi bersama Neelofa selepas

SELEPAS lebih dua tahun tidak terlibat dalam dunia lakonan, kini Neelofa sudah bersedia untuk kembali ke set penggambaran dengan semangat baharu.

Tegasnya, dia mahu memberikan lakonan terbaik dan berkesan di hati peminat melalui beberapa projek yang akan dijayakan memandangkan sebelum ini pembabitannya dalam beberapa filem dan drama dilihat kurang menyerlahkan sebagai pelakon.

Malah dia teruja untuk kembali beraksi di depan kamera selepas kali terakhir berlakon drama Kau Yang Terindah pada 2012.

"Sepanjang tempoh tidak berlakon, fokus saya lebih kepada dunia perniagaan. Saya perlu memastikan perniagaan berjalan lancar, barulah boleh memikirkan soal lakonan.

"Dan apabila perniagaan saya sudah stabil, saya rasa inilah saat yang paling sesuai untuk saya kembali aktif dengan dunia lakonan," kata Neelofa yang memiliki empat perniagaan yang diusahakan sendiri dan bersama-sama keluarga termasuk kanta lekap dan tudung.

Akan menjalani penggambaran telefilem Rindu Tiada Bertepi arahan Isma Yusoof bermula 20 April ini, kata Neelofa, dia berharap kemunculan semulanya itu dapat mewarnai dunia seni yang diminatinya.

"Selain Rindu Tidak Bertepi, saya juga sedang menimbang beberapa tawaran lain. Saya berharap dapat berlakon dengan karya yang terbaik," ujarnya lagi.

Cabaran

Dalam pada itu Neelofa mengakui berdepan dengan pelbagai cabaran dan kritikan selepas mengambil keputusan untuk mengenakan tudung pada pertengahan tahun lepas.

Tidak pernah mengambil hati tentang pandangan serong segelintir pihak yang memperlekehkan usahanya untuk berubah, Neelofa menambah, dia perlu realistik dan menganggap itu sebahagian dugaan buat individu yang mahu melakukan kebaikan dalam hidup.

Namun ada kesal di hati wanita ini apabila mengulas kritikan sesetengah golongan yang tidak berpuas hati selepas Neelofa memuat naik poster filem Pilot Cafe untuk tujuan promosi baru-baru ini.

"Pada saat saya terlibat dengan penggambaran Pilot Cafe, saya masih belum bertudung. Jadi ada pihak yang marah kerana saya dilihat seolah-olah sengaja menayangkan aurat saya.

"Walhal filem itu dilakonkan saya dua tahun lalu. Dan sebagai pelakon, saya juga perlu memikirkan kepentingan banyak pihak.

"Apapun saya berasakan penayangan Pilot Cafe pada 30 April ini tepat pada masanya. Orang akan melihat perubahan Neelofa dulu dan hari ini," ujar Neelofa.

Mengulas lanjut, Neelofa memberitahu, setiap manusia yang pernah melakukan kesilapan berpotensi untuk boleh berubah walaupun kadangkala perubahan itu tanpa disedari mereka.

Yang penting, individu berkenaan perlu mengelak daripada mengulangi kesilapan seperti sebelumnya, beristiqamah dan mencari kehidupan baharu, tambah Neelofa.

"Yang terjadi pada hari ini adalah sikap mudah menghukum dalam kalangan masyarakat. Sedangkan semua orang tahu yang manusia itu tidak sempurna," katanya yang turut menerima tempias apabila mengelak daripada bersalaman dengan lelaki pada satu acara penganugerah baru-baru ini.

TIDAK pernah mengambil hati tentang pandangan serong segelintiR pihak yang memperlekehkan usahanya untuk berubah, neelofa menambah, dia perlu realistik dan menganggap itu sebagai sebahagian dugaan buat individu yang mahu melakukan perubahan dalam hidup



It's me. 

Shah Rezza - 2015 tahun melaksanakan impian

Hiburan - Utusan Online

Raja Rezza Shah atau lebih dikenali sebagai Shah Rezza.
TRIVIA

MEMULAKAN kerjaya sebagai seorang model pada usia 14 tahun, perjalanan seninya terus berkembang apabila beliau sebagai pelakon.

Tidak hanya terhenti setakat itu, bintangnya semakin menyerlah apabila bakatnya dalam bidang nyanyian dicungkil dan mulalah kerjaya baharu sebagai seorang penyanyi.

Walaupun mungkin tidak sepopular seperti artis-artis tanah air yang lain, sekurang-kurangnya nama beliau masih lagi diingati dan dikenali ramai sehingga ke hari ini.

Hari ini, walaupun umurnya telah menginjak ke angka 54 tahun, Datuk Seri Raja Rezza Shah atau lebih dikenali dengan panggilan Shah Rezza masih lagi kekal dalam dunianya yang tersendiri.

Sekian lama 'menghilang diri' daripada dunia lakonan dan nyanyian, namanya tiba-tiba bangkit semula melalui Festival Fesyen Islam (IFF), satu gerakan yang mempromosi fesyen-fesyen Islam.

Sejak peragaan pertamanya pada November 2006, Shah Rezza dilihat tidak pernah gagal daripada menganjurkan festival tersebut setiap tahun.

Bukan sahaja dilihat sebagai seorang individu yang berjaya mengangkat martabat busana Muslimah ke peringkat antarabangsa, malah penglibatan beliau melalui IFF juga membawa nama Malaysia ke peta dunia.

Berbicara lanjut mengenai perkara tersebut, jelas anak bongsu daripada dua beradik ini, segala-galanya bermula selepas tragedi pengeboman di Amerika Syarikat pada 11 September.

Selepas kejadian tersebut, seluruh dunia seolah-olah menyalahkan dan mengaitkan umat Islam dengan keganasan.

Justeru, beliau terpanggil untuk menangkis persepsi tersebut melalui fesyen, yang sudah tentunya sinonim dengan kelembutan dan ketenangan.

"Penyertaan pelbagai bangsa, agama, dan negara telah menjadikan IFF satu platform berkesan untuk mewujudkan satu pesta fesyen yang positif, serta dapat menyumbang kepada pertumbuhan sosial dan budaya yang sihat.

"IFF juga berjaya membuktikan bahawa fesyen boleh dijadikan alat atau medan untuk bersatu, sekali gus menunjukkan kepada dunia bahawa aktiviti berlandaskan Islam tidak meminggirkan penyertaan dan penglibatan agama serta bangsa lain.

"Pergerakan fesyen ini juga merupakan satu platform yang memberi peluang kepada semua pereka fesyen untuk sama-sama terlibat dan bekerjasama," ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Hari ini siapa sangka, selepas hampir 11 tahun penganjurannya, IFF dilihat sebagai satu festival fesyen Islam yang sangat dinanti-nantikan terutama sekali bagi pereka-pereka fesyen di seluruh negara.

Ini kerana, IFF bukan lagi sekadar satu pertunjukan fesyen busana Muslimah yang menarik, malah berjaya menampilkan 100 peratus jenama Malaysia.

Pada masa yang sama, acara itu juga mampu dilihat sebagai lebih daripada sebuah pertunjukan fesyen.

Rentetan daripada kejayaan itu jugalah pada tahun ini, Shah Rezza tampil dengan koleksi pakaian bercirikan Islam untuk lelaki.

Tidak hanya bertanggungjawab mengeluarkan pakaian tersebut, malah beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab mereka pakaian tersebut.

Bercerita lebih lanjut mengenai 'kerjaya' baharu itu, katanya, tahun ini beliau akan 'keluar' dengan pelbagai produk termasuk mengusahakan kembali perniagaannya sebagai perancang majlis perkahwinan, selain kekal menganjurkan IFF.

Menurutnya, kali terakhir dia menguruskan majlis perkahwinan ialah pada 2006, iaitu majlis perkahwinan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Beliau yang pernah membintangi beberapa filem antaranya Ali Setan pada tahun 1986 dan Marah-Marah Sayang (1987), berkata, walaupun sudah berjaya dalam bidang perniagaan, masih menyimpan keinginan mahu kembali aktif dalam industri seni.

"Tahun ini saya sudah berumur 54 tahun. Tahun ini juga saya akan laksanakan segala macam perancangan yang telah dibuat kerana masih ada cita-cita yang belum dicapai.

"Walaupun sudah lama meninggalkan dunia lakonan, perasaan rindu itu masih menebal dan saya merasakan tahun ini adalah tahun yang terbaik untuk saya kembali bergiat dalam industri seni.

"Ini kerana, selepas ini saya mempunyai perancangan yang lebih besar dan mungkin saya tidak lagi aktif dalam bidang seni seperti sebelum ini," tuturnya lanjut yang mula mencipta nama pada tahun 1980-an.

Sepanjang dua jam berbual mengenai kerjaya dan kehidupannya hari ini, Shah Rezza tidak ketinggalan ditanya mengenai latar belakang keluarganya.

Biarpun berasal daripada kerabat diraja Perak, Shah Rezza sebenarnya dibesarkan oleh nenda tirinya, Raja Perempuan Zainab di Kelantan.

Dibesarkan dan dididik dalam persekitaran istana yang penuh dengan protokol dan adat istiadat, menjadikan Shah Rezza seorang individu yang cukup berdisiplin.

Begitupun katanya, semua itu bukanlah penghalang baginya untuk bergaul dengan masyarakat luar kerana beliau turut didedahkan dengan kehidupan rakyat biasa dan bergaul rapat dengan mereka.

Pernah menjadi penasihat Muzium Kelantan dan Pengerusi Yayasan Kraftangan Kelantan, hari ini selain ingin mencapai cita-citanya, Shah Rezza dilihat ingin mengimbangi kehidupannya di dunia dan akhirat.

Menjelaskan perubahan-perubahan yang dibuat dalam hidupnya, beliau berkata, kesemua elemen-elemen itu terpendam dalam hidupnya dan menyerlah dalam fasa-fasa kehidupan yang berbeza.

"Transisi hidup saya tercetus daripada cara dan persekitaran saya dibesarkan dan minat yang mendalam dalam seni hiburan serta kebudayaan.

"Inilah diri saya yang sebenar, malah saya bersyukur kerana diberi peluang memenuhi minat sebagai penghibur, mengatur majlis, dan penyelidik.

"Apa yang saya ketahui dan pelajari, akan saya kongsi bersama orang di keliling saya sebagai ucapan terima kasih atas sokongan dan galakan yang telah diberikan selama ini," katanya yang turut memaklumkan, kini dalam perancangan untuk membina sebuah hotel IFF di Pasir Puteh, Kelantan.

Yang pasti, segala perancangan yang telah diatur akan dilaksanakan secara teratur dan satu persatu malah Shah Rezza juga akan pastikan tahun ini segala impiannya akan terlaksana.

Wednesday, April 15, 2015

Menu kari pemikat hati

Hiburan - Utusan Online
ELIZAD tidak dapat menahan sebak sewaktu memeluk ayahnya pada                             
Sebahagian daripada rakan artis yang hadir majlis resepi Siti

Sejak empat bulan sah memegang status isteri membuatkan heroin siri Teman Lelaki Upahan, Siti Elizad Sharifuddin, 31, cuba mempertingkatkan kemahiran memasaknya terutama lauk berasaskan rempah kari memandangkan itu adalah kegemaran suaminya, Shamsul Baharin Rahman, 43.

Walaupun kedua-duanya mengamalkan diet pemakanan yang sihat dengan mengawal nafsu makan masing-masing, Elizad yang ditemui sejurus majlis resepsi pada hujung minggu lalu memberitahu bahawa Shamsul amat menggemari masakan kari dan mahu memastikan menu yang dihidangkannya menepati cita rasa si suami.

"Sebenarnya, kami berdua jarang makan bersama disebabkan kepadatan jadual kerja masing-masing. Apatah lagi, pada sebelah malam pula, kami cuba kurangkan makan makanan berat sebagai salah satu amalan rejim diet demi kesihatan bersama.

"Akan tetapi, andai ada masa terluang untuk dihabiskan bersama, saya akan masak makanan kegemarannya iaitu sebarang masakan berasaskan kari. Untuk memastikan suami tidak bosan dengan menu yang sama, saya cuba pelajari beberapa resipi lain yang menggunakan rempah tersebut.

"Alhamdulillah, sepanjang empat bulan kami duduk sebumbung, saya sempat juga menyediakan beberapa sajian dan dia menyukainya walaupun agak sibuk dengan jadual penggambaran yang padat," jelasnya yang anggun dalam persalinan songket kuning lembut, sementara Shamsul di sisinya segak mengenakan busana tradisi baju Melayu dengan samping songket berona sama.

Majlis resepsi Elizad dan Shamsul berlangsung di Kampung Pengantin yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur menyaksikan barisan selebriti seperti Ana Dahlia, Fikhree Bakar, Azhan Rani, Sherry Alhadad, Tun Nadia, Linda Hashim, Beego, Khalid Nazri, Fazlina Ahmad Daud dan Kuza hadir memeriahkan acara.

Pada masa yang sama, Shamsul yang agak pendiam berkata, sikap Elizad yang suka membulinya membuatkan dia jatuh hati terhadap wanita tinggi lampai itu.

Menjelaskan lebih lanjut, perangai isterinya yang sedikit kasar menjadi faktor utama dia terpikat selain sisi kewanitaan yang akan menonjol tatkala diselubungi kesedihan.

"Saya mula rapat dengan Elizad selepas arwah ibunya meninggal dunia pada tahun lepas. Masa tu, dia sangat sugul dan hilang semangat. Lagipun, sebagai kenalan lama dan kawan baik kepada abangnya, saya cuba beranikan diri merapati Elizad.

"Niat untuk memujuk dan menggembirakan semula hatinya yang bersedih kemudian bertukar rasa cinta setelah kerap meluangkan masa bersama. Lama kelamaan, hubungan kami makin serius apatah lagi ketika itu saya juga kesunyian kerana rumah tangga sebelum ini tidak bertahan lama," katanya menambah cerita.

Gambar FARIZWAN HASBULLAH

Dalam pada itu, memberi penjelasan kontroversi tentang majlis pernikahan mempelai berkenaan yang disorok daripada pengetahuan media, menurut Elizad perkara tersebut tidak perlu diperbesarkan kerana dia tidak berniat menyembunyikan majlis itu, tetapi terpaksa mempercepatkan demi mengikut kata bapanya.

"Kalau ikutkan, tarikh pernikahan telah beberapa kali ditunda sebab kesibukan kami berdua. Selepas itu, saya mula perasan sikap abah sedikit berubah dan sering 'menarik' muka.

"Daripada riak wajah abah, saya tahu ada sesuatu yang tidak kena. Apatah lagi dia tidak mahu bercakap banyak dengan saya. Sebab itu saya rasa bersalah sangat memandangkan saya anak tunggal perempuan dan satu-satunya zuriat abah yang masih belum berkahwin.

"Rupa-rupanya dia merajuk kerana telah menundakan tarikh pernikahan lebih daripada dua kali dan membuatkan hatinya terkilan. Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, saya cepat-cepat bincang dengan suami tetapkan satu tarikh dan adakan majlis kecil-kecilan seringkas yang boleh. Disebabkan itulah pernikahan kami tidak diuar-uarkan kerana tidak mahu ada pihak berkecil hati apabila tidak diundang," jujur Elizad menceritakan keadaan sebenar.

Pada masa yang sama, berbicara mengenai lokasi bulan madu pasangan tersebut, Shamsul menambah, dia mahu menunaikan impian isterinya untuk menunaikan umrah. Oleh yang demikian, mereka memilih Kota Mekah sebagai destinasi yang bakal dituju untuk bermadu kasih di samping mengerjakan ibadah.

"Bagaimanapun, Elizad terikat dengan penggambaran drama bersiri sehinggalah menjelang puasa nanti. Kami belum menetapkan sebarang tarikh dan mahu pastikan betul-betul jadual kerja supaya ia tidak mengganggu niat murni ini," jelasnya.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu diijabkabulkan dengan sekali lafaz sahaja pada 11 Januari lalu di Masjid Wilayah, Jalan Duta berwalikan ayah Elizad sendiri, Sharifuddin dengan mas kahwin RM777.

Animasi satu cabang dakwah

Agama - Utusan Online

mesej yang cuba disampaikan dalam sesebuah animasi itu adalah
INOVASI...bukan hanya sokongan teknologi terkini tetapi daya kreatid
KARIM Wahab (kiri) menerangkan sesuatu kepada salah seorang tenaga
BUKAN mudah untuk menarik minat kelompok kanan-kanak terhadap
Amaluddin Mohd. Napiah
HANYA dengan sokongan dana yang mencukupi mampu menyemarakkan
DIDIKAN awal... Menyemai nilai-nilai Islam boleh dibuat melalui

KEPESATAN pembangunan teknologi tidak harus dipinggirkan, sebaliknya perlu dipandang sebagai satu kelebihan dalam usaha memperkasa dan memperluaskan lagi skop gerakan dakwah masa kini.

Kombinasi antara keduanya itu mampu menjadikan usaha penyampaian risalah Allah SWT kepada khalayak umum menjadi lebih cepat, tepat dan berkesan.

Antara teknologi yang menjadi tumpuan utama hari ini adalah bidang animasi. Ia menjadi lebih penting apabila kelompok khalayak yang paling dekat dengan bidang ini adalah golongan kanak-kanak dan peringkat remaja.

Sudah pasti, dengan acuan yang betul, mampu memberi corak yang positif terhadap pembangunan Islam pada masa depan.

Ini diakui oleh seorang pendakwah bebas, Amaluddin Mohd. Napiah atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Amal ketika ditemui di pejabatnya di Puchong, Selangor, baru-baru ini.

"Usaha itu perlu digarap sebaik mungkin bagi menakluk hati mereka agar terus terpaut dengan ajaran Islam yang sebenarnya," katanya yang aktif berdakwah melalui media hiburan, termasuk animasi sejak awal 2000.

Justeru, kaedah dakwah menggunakan animasi wajar diketengahkan untuk mendidik kanak-kanak kerana kelompok ini lebih mudah menerima mesej melalui kaedah tersebut.

Bukan setakat kualiti maklumat yang disalurkan dalam animasi tersebut dititikberatkan, malah ini merupakan satu cabang dakwah yang berkesan untuk menambat hati golongan muda dan kanak-kanak.

"Walaupun animasi semakin menjadi fenomena dalam negara, namun animasi Islam perlu diperkasakan untuk mewarnai dunia hiburan kanak-kanak agar mereka terdidik dengan ajaran Islam yang sebenarnya," ujarnya.

Fardu kifayah

Sambil mengakui bahawa industri animasi tempatan kekurangan kandungan animasi Islam tetapi Amaluddin menegaskan ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikannya.

Himpitan oleh dana atau sindiran daripada golongan tertentu adalah cabaran yang perlu ditangani secara bijaksana dan bukannya dijadikan alasan untuk mengalah.

Tidak kurang juga dibuat sebagai sebab untuk menyalahkan orang lain jika wujud pelbagai filem atau cerita animasi yang tidak bersesuaian dengan tuntutan agama dan budaya masyarakat tempatan.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.

"Cabaran itu ada. Tetapi kita kena teruskan dan lawan dengan sebijak mungkin. Ini adalah bidang fardu kifayah dan sekiranya tidak dibuat, kita semua akan menanggung dosanya.

"Hakikatnya, bidang animasi itu bukan hanya soal hiburan, seni Islam dan perniagaan tetapi ia berkait dengan pendidikan untuk golongan sasaran," katanya.

Namun, Amaluddin mengakui tidak mungkin usaha memperbanyakkan animasi berunsur Islam di pasaran tempatan itu mampu menjawab setiap kekeliruan yang timbul berkait dengan Islam.

Baginya, apa yang lebih penting adalah usaha tersebut dapat menanam nilai dan semangat Islam dalam kalangan kanak-kanak Islam yang sedang membesar.

Kalau mahu dilakukan melalui ceramah atau buku, ia mungkin agak berat untuk golongan kanak-kanak menerima dan memahami apa itu Islam.

"Tetapi lihat sahaja bagaimana animasi Barat yang ditayangkan di Malaysia berjaya mencetus fenomena luar biasa kepada anak-anak kita.

"Mereka bukan hanya gembira dengan animasi Barat itu tetapi boleh memahami dan mengingati apa mesej yang terdapat dalam animasi tersebut," katanya.

Ambil peluang

Ternyata penerimaan kelompok tersebut perlu dilihat serius oleh penggiat dan penyokong industri animasi bercorak Islam tempatan sebagai salah satu elemen dakwah yang penting hari ini.

Kita tidak seharusnya melihat penggunaan animasi untuk berdakwah daripada sudut pandangan yang sempit dan jumud. Tetapi kita perlu melihatnya demi kepentingan pengukuhan ummah pada masa depan.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya, Seni Dalam Islam berpandangan hukum membuat gambar bergantung kepada tujuan gambar itu dibuat, tempat letaknya bagaimana ia digunakan dan niat pembuat gambar tersebut.

Dengan kata lain, Amaluddin berkata, sesuatu perkara atau benda yang kita pegang untuk tujuan pendidikan adalah hukumnya harus di sisi Islam.

"Semua medium diharuskan selagi tidak bercampur dengan kandungan yang haram.

"Apabila ada peluang, mereka yang pakar perlu ambil peluang itu kerana ini adalah saham akhirat kita. Apa lagi setiap daripada kita memikul tanggungjawab untuk menyampaikan dakwah mengikut kesesuaian atau kemampuan masing-masing," katanya.

Pada masa sama, Amaluddin turut menyeru organisasi atau syarikat yang didukungi oleh individu Islam agar tampil menyalurkan dana bagi membantu usaha berdakwah melalui saluran animasi.

Ini kerana, tambahnya, pembikinan sesebuah animasi memerlukan kos yang agak mahal.

"Daripada segi kemahiran dan sumber tenaga, rasanya kita sudah tidak ada masalah kerana banyak universiti awam dan swasta telah ada menawarkan kursus-kursus berkaitan bidang animasi.

"Namun, yang menjadi persoalan hanyalah sokongan dan komitmen penyumbang dana bagi membolehkan animasi Islamik berada di arus perdana dalam industri animasi tempatan," katanya. - Gambar Mohd. Azim Abd. Rahman

Tonjolkan budaya, ajaran Islam

SEMENTARA itu, bagi Pengarah Animasi Khalifa Animation Sdn. Bhd., Karim Wahab menyifatkan sasaran kelompok kanak-kanak adalah perlu bukan hanya kerana ia adalah medium seni yang paling diminati mereka.

Malahan tambahnya, pembentukan minda yang setia kepada ajaran dan nilai Islam lebih mudah dilakukan di peringkat umur kanak-kanak berbanding tahap usia golongan lain.

"Saya akui ibu bapa memainkan peranan penting dalam kehidupan anak-anak mereka.

"Tetapi yang akan mendorong kanak-kanak itu sentiasa ingat kepada nasihat dan ajaran ibu bapa mereka adalah ikon yang muncul dalam cerita animasi berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, Puchong, baru-baru ini.

Khalifa Animation Sdn. Bhd. bertanggungjawab menerbitkan cerita animasi Aqil yang ditayangkan melalui saluran TV Hijrah dan Aqil musim kedua dijangka ke udara tidak lama lagi.

Animasi Aqil musim kedua itu tampil membawa kelainan dalam menyampaikan dakwah Islam kepada penonton. Di samping berhibur, terselit unsur-unsur nasihat serta ilmu agama yang boleh dijadikan panduan kepada semua.

Justeru, Karim berkata, adalah penting untuk melipatgandakan usaha memperbanyakkan produk animasi tempatan, khususnya yang berkonsepkan Islam supaya kanak-kanak mengenali jati diri mereka.

Usaha itu perlu supaya kanak-kanak Islam mempunyai alternatif untuk menonton cerita animasi yang ada di pasaran tempatan.

"Kita tidak mahu mereka hanya menonton produk animasi luar yang sudah pasti kandungannya mungkin lari daripada nilai-nilai Islam dan budaya tempatan.

"Kita tonjolkan budaya kita dan ajaran Islam. Biar mereka dapat belajar kerana ada masa-masa tertentu, khususnya apabila bersama kawan-kawan, animasi inilah akan mengajar apa yang boleh dan apa yang tidak," katanya.

Begitu pun, Karim mengakui bukan satu kerja yang mudah untuk menarik minat golongan kanak-kanak untuk meminati produk animasi yang dihasilkan pihaknya.

Tidak seperti golongan remaja atau dewasa, kelompok kanak-kanak akan lebih cepat merasa bosan jika produk animasi itu tidak menepati kehendak mereka.

"Lantaran itu, dalam hasil animasi akan cuba diselitkan elemen-elemen komedi dan penuh suspen untuk elak rasa bosan tetapi ia tidak keterlaluan atau tidak sesuai untuk mereka.

"Dengan kata lain, ada elemen komedi tetapi dalam masa sama mesej ajaran Islam perlu sampai kepada kanak-kanak," katanya.

Selaras dengan usaha itu, produksi animasi tidak seharusnya mengabaikan soal kualiti produk, sama ada daripada segi jalan cerita, watak atau latar belakang cerita animasi itu.

Ini kerana, Karim berkata, untuk bersaing dengan produksi luar, kualiti produk animasi tempatan perlulah lebih berdaya saing.

"Saya akui kos menerbitkan produk animasi adalah mahal tetapi ia tidak seharusnya menjadi alasan atau halangan, khususnya dalam soal untuk berdakwah.

"Saya percaya kerja-kerja dakwah bagi menyampaikan mesej Allah SWT dan Rasulullah SAW ada keberkatannya," katanya. - Gambar Mohd. Azim Abd. Rahman

Erra: Cinta rahsia

Hiburan - Utusan Online

ERRA FAZIRA (enam dari kiri) dilantik sebagai juri tetap program
seperti ibu bapa yang lain, Erra Fazira dan Engku Emran berganding

BILA pelakon ini membuat keputusan untuk memberi hak penjagaan anaknya kepada bekas suami, ramai yang tertanya apa yang Erra Fazira mahu buktikan. Namun tiada siapa yang dapat menjawab apa yang bermain di fikiran Erra ketika itu. Masa berlalu dan kini sudah hampir satu tahun lebih dia bergelar ibu tunggal. Menyatakan kehidupannya cukup bahagia kini, ada kelebihan yang mahu dia tampilkan dalam kehidupannya dan bekas suami, Engku Emran.

Masih menjalinkan hubungan yang baik demi anak tunggal mereka Engku Aleesya, 6, ramai yang mula menyimpan impian agar keluarga ini kembali bersatu.

Pokoknya bukan itu yang mahu dibuktikan Erra. Memandangkan dia percaya kebahagiaan ini wujud hasil kesefahaman bahawa Aleesya layak mendapatkan sepenuh kasih sayang daripada kedua orang tuanya walaupun ibu dan ayahnya sudah bercerai.

"Orang tidak faham apa yang kami lalui. Kembali bersama mudah untuk diucapkan, tetapi bagi kami yang melaluinya tidak senang seperti yang diucap.

"Mana ada orang yang berkahwin mahu bercerai. Apa yang berlaku kepada kami pasti ada sebab. Jadi, saya minta orang faham," katanya.

Mengakui sedikit tertekan, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 41, meminta agar hubungan baiknya dengan Engku Emran tidak terus disalah sangka.

Malah pada ketika ini dia percaya kebahagiaan Aleesya harus menjadi fokus utama buat mereka berdua.

"Apa yang orang kena faham, hubungan baik saya dengan Emran akan berterusan sampai bila-bila sebab kami ada Aleesya. Kenapa perlu pertikai keadaan ini memandangkan kami selesa.

"Bila terus-terusan ada yang kata kenapa tidak kembali bersama, memang agak tertekan. Mungkin sebahagian mereka ini tidak dapat apa yang cuba disampaikan kami," katanya.

Jelas Erra, persepsi yang mengatakan pasangan yang sudah berpisah harus membenci satu sama lain tidak akan berlaku dalam hidupnya.

Malah katanya, dengan apa yang cuba ditonjolkan dia dan Emran seharusnya menjadi contoh yang baik buat mereka di luar sana.

"Ada sesetengah daripada mereka mampu melihat hubungan baik saya dengan Emran mampu membawa makna yang positif buat mereka yang percaya bercerai tidak semestinya bergaduh dan tidak boleh berbaik.

"Malah bila Emran dan saya sudah mempunyai keluarga sendiri juga suatu hari nanti, kami akan kekalkan hubungan ini," katanya.

Pilihan untuk terus baik dengan Emran memberi peluang buat anaknya Aleesya membesar dengan penuh kasih sayang.

Kata Erra, Aleesya sendiri sudah bersedia sekiranya ada di antara ibu atau bapanya yang mahu memulakan keluarga baharu.

"Saya dibesarkan seorang ibu tunggal. Jadi, saya biasa dengan keadaan ini. Sebab itu saya pastikan Aleesya dibekalkan dengan kasih sayang sepenuhnya. Apa yang berlaku antara kami saya akan terangkan kepada dia keadaan sebenar tanpa berselindung.

"Sebab itu Aleesya faham, malah saya selalu ingatkan dia juga bahawa suatu hari nanti jika saya atau ayahnya bertemu jodoh, tiada apa yang akan merubah keadaan ini," katanya.

Gambar Azlina Othman
Reka bentuk Mastika mohamed

Dipilih menjadi juri Kilauan Emas musim kelima kata Erra peluang itu diterimanya setelah yakin dengan kemampuan diri. Bagaimanapun ada syarat dalam memastikan dia tidak dipersalahkan kemudian hari.

"Kalau soal vokal atau yang lebih teknikal saya tahu itu bukan kerja saya. Jadi ada juri yang lebih sesuai untuk lontarkan pendapat mereka kepada peserta.

"Saya hanya mengadili bahagian penampilan serta tahap keyakinan mereka di atas pentas. Sebab itu saya tidak fikir ada tekanan untuk menjadi juri dalam pertandingan ini," katanya.

Cukup dikenali sebagai antara wanita tercantik di Malaysia, pastinya penampilan Erra akan sentiasa menjadi perhatian dalam mana-mana rancangan. Menurut Erra untuk Kilauan Emas dia akan memastikan penampilannya lebih sesuai dengan program tersebut.

"Saya bukan sahaja menjadi juri untuk Kilauan Emas tetapi juga untuk Dewi Remaja, jadi apa yang akan saya kenakan bersesuaian dengan program tersebut," katanya.

Meniti kehidupan solo kini, Erra pernah memberitahu dia sebenarnya sedang mengenali seseorang. Bagaimanapun sehingga ke saat ini siapa sebenarnya lelaki yang dimaksudkan itu masih menjadi tanda tanya memandangkan Erra enggan berkongsi identiti teman istimewa itu. Puas dipujuk untuk mendedahkan siapa lelaki bertuah itu, ternyata Erra lebih tahu apa yang terbaik buat hubungannya.

"Sehingga kini kami dalam fasa mengenali, masing-masing juga sudah terlalu matang dalam menjalani kehidupan kini sebab itu kami tidak berjumpa.

"Saya tidak akan dedahkan siapa dia, cukup sekadar memberitahu kalau suatu hari nanti ada jodoh kami akan bersama," katanya.

Mengakui pendedahan dia kini sedang bersama seseorang bagi mengelakkan lebih banyak spekulasi, terang Erra mungkin dengan cara ini mampu memberi ketenangan buat dirinya.

"Mungkin dengan pengakuan saya ini tiada lagi kisah tidak benar mengenai cinta saya. Jadi saya ambil pendekatan mahu meletakkan noktah kepada itu.

"Bagaimana kami menjalinkan hubungan mudah. Bukan macam orang muda yang memerlukan keluar bersama atau tengok wayang bersama. Cukup sekadar hati masing-masing tahu," katanya.

Tidak berselindung mahu menambah zuriat, Erra percaya sudah menjadi impian mana-mana wanita jika diberikan rezeki begitu. Namun itu tidak membuatkan dia tergesa-gesa untuk mencari pengganti di saat ini.

"Saya pernah berkahwin dan kini sebagai seorang ibu tunggal komitmennya itu lebih banyak, jadi tiada tekanan untuk saya cepat-cepat berkahwin.

"Dia juga mempunyai kerjanya sendiri, jadi situasi ini buat kami memberi fokus buat kehidupan masing-masing dan menyerahkan segalanya kepada jodoh," katanya.

Tuesday, April 14, 2015

Saya masih ada - Zara

Hiburan - Utusan Online

Saya masih ada - Zara

KUALA LUMPUR 17 MAC 2015 - Sesi fotografi bersama Zara Zya selepas
KUALA LUMPUR 17 MAC 2015 - Sesi fotografi bersama Zara Zya selepas

SEBELUM ini drama Love You Mr. Arrogant telah melonjakkan nama pelakon Zara Zya setelah melibatkan diri dalam dunia lakonan sejak 10 tahun lalu.

Dek penangan drama itu jugalah telah membuatkan dirinya meraih pelbagai anugerah hingga berjaya mengangkat namanya sebaris dengan pelakon lain.

Dia juga boleh tersenyum selesa selepas bakatnya telah diterima sebahagian kelompok peminatnya sendiri. Begitu hebat penangan drama yang menjadikan Zara sebagai heroin bergandingan dengan pelakon lelaki Azlee Khairi.

Tetapi, mengikut resmi hidup yang ibarat roda ini, tak selamanya kita berada di atas, ditambah lagi jika bergelar anak seni yang saban hari pasti akan ada muka baharu antaranya Ayda Jebat, Atika Suhaime, Amyra Rosli dan banyak lagi berjaya mewarnai persada seni tempatan.

Pemilik nama penuh Zainurul Razia Mohd. Zainuddin ini turut menerima tempias yang sama kerana gadis bertubuh genit ini akui kurang menerima publisiti tetapi itu tidak bermakna dia terus senyap.

Kata Zara, biarpun kini semakin banyak pelapis baharu dapat dilihat di segenap medium media, dia bagaimanapun tidak sedikit pun berasa tergugat dan tidak menganggap mereka sebagai saingan sebaliknya dia berasa senang melihatkan peningkatan positif dari pelakon baharu.

"Hidup ini macam roda, kadang-kadang kita di atas dan kadang-kadang juga kita berada di bawah. Tak selamanya kita akan berada di puncak sahaja. Sesekali itu mungkin kita akan rasa duduk di bawah.

"Bukan saya seorang yang pernah rasa fasa ini, rasanya ramai lagi pelakon lain pernah rasai benda sama. Cumanya, mungkin tahun ini rezeki orang lain pula.

"Kalau mengulas mengenai pengiktirafan pula, saya sudah pernah memenangi anugerah yang selama ini saya idamkan tahun lalu. Jadi tak salah pun kalau kita bagi orang lain rasa pula," katanya yang pernah memenangi enam anugerah dari pelbagai majlis penganugerahan.

Dia turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan jika dirinya kini sudah tiada tawaran lakonan hingga membuatkan popularitinya kian merudum.

"Walaupun wajah saya kurang dilihat di televisyen, tetapi Alhamdulillah tawaran berlakon tak pernah putus. Sekarang ini pun saya semakin sibuk di lokasi penggambaran yang akan disiarkan pada bulan Ramadan nanti untuk slot Samarinda berjudul Hidayahmu.

"Bulan ini juga drama lakonan saya bersama Aaron Aziz Dan Calonnya Adalah untuk siaran Tonton online. Mungkin kesibukan saya dengan kerja buatkan orang tak perasaan tentang kewujudan saya," ungkapnya. - Gambar NUR AISYAH MAZALAN

Suka lelaki persis Adi Putra

Menyusuri kisah peribadinya, jika wanita seusianya sudah berumah tangga dan berkeluarga tetapi Zara, 30, bagaimanapun tidak menganggap itu sebagai batu penghalang untuk dia meneruskan hidup biarpun berstatus solo.

Jelas anak bongsu daripada empat orang beradik ini, dia tidak mahu membebankan fikirannya dengan cerita tentang lelaki atau lebih tepat lagi soal teman hidupnya.

"Buat masa ini saya lebih selesa untuk cari duit dulu bagi dekat keluarga dan kemudian barulah fikirkan soal cinta.

"Saya masih belum bersedia untuk berfikir ke arah itu (kahwin) biarpun di usia saya sekarang ini memang sudah patut berkeluarga. Fokus saya lebih kepada kerjaya dahulu," lembut bicaranya.

Menurut Zara, dia mahukan lelaki yang mempunyai ciri-ciri seperti aktor terkenal Adi Putra dan mempunyai karakter yang sedikit garang dan kemas.

"Sebenarnya lelaki yang garang ini dalam hati mereka baik. Kalau kita nilai dari segi luaran sahaja, memanglah selamanya kita akan cakap orang seperti itu garang dan tidak mudah mesra. Saya pun bukan jenis yang memilih lelaki. Pastinya saya suka lelaki Melayu, tetapi itu bukan jaminannya. Segalanya telah ditetapkan Tuhan dan saya terima sahajalah.

"Saya impikan lelaki seperti Adi Putra sebab waktu pertama kali saya berlakon dengannya untuk drama Zahira, saya memang takut-takut bila produksi cakap saya akan digandingkan dengan dia.

"Adi kalau dari luaran kita tengok sebagai seorang pelakon senior yang banyak pengalaman dan wajahnya agak serius ditambah lagi watak dalam cerita itu pun agak menakutkan juga.

"Tapi lama-kelamaan bila kami sudah serasi dalam set penggambaran, Adi seorang yang sangat cool dan sangat tak lokek berkongsi tentang dunia lakonan," katanya yang turut membintangi filem Rembat arahan Shamly Othman yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Antara produk makanan dan kecantikan

Bagaikan satu trend pula apabila melihat kebanyakan selebriti tanah air kini berjinak-jinak dengan perniagaan. Pantang ada sahaja 'lubang' untuk berniaga, pasti akan disahutnya.

Tapi jika difikirkan demi masa depan, sebenarnya bidang perniagaan ini sangat membantu pendapatan para peniaga dan mampu beri pulangan lumayan pada mereka yang sabar dalam berjualan.

Minat berniaga yang dipupuk sedari kecil lagi buatkan wanita kelahiran Lenggong, Perak ini bersemangat untuk meneruskan perniagaan produk makanan yang diusahakan oleh keluarganya.

"Dalam pada saya sibuk berlakon, saya ada usahakan perniagaan keluarga yang menjual aneka biskut, sambal bilis dan sambal penyet. Saya ligat buat jualan perniagaan ini sebab dari kecil memang minat berniaga.

"Berniaga ini sebagai jangka masa panjang dan kalau lakonan pula saya tak boleh nak tunggu lama sangat kan. Nak bina perniagaan ini bukannya benda yang boleh dipandang remeh. Banyak benda kita perlu fikirkan untuk pastikan apa yang kita jual dapat tarik pelanggan," tuturnya yang turut menjual tudung dengan jenamanya sendiri.

Berceloteh panjang lebar, Zara juga tidak keberatan untuk berkongsi perancangannya yang bakal mengeluarkan satu produk kecantikan menggunakan jenana Miss Zara tidak lama lagi.

"Produk Miss Zara ini terdiri daripada produk penjagaan kulit dan kecantikan yang mengandungi BB Cream, Serum dan pencuci muka.

"Dalam pada cuaca yang tak menentu ini, memang kita kena titik beratkan penjagaan kulit wajah untuk sentiasa kekal awet muda," katanya.

Ketika ditanya, apakah mungkin perancangannya yang mahu memperluaskan empayar perniagaan itu dipengaruhi dari sesetengah selebriti yang kini semakin ligat mengeluarkan produk kecantikan sendiri dan mungkinkah persaingan sengit itu menyukarkan dirinya untuk menjual produknya nanti.

"Saya tak ikut sesiapa pun bila nak keluarkan produk kecantikan ini. Ia datang dengan niat saya sendiri sebab tujuannya nak pelbagaikan lagi produk perniagaan saya.

"Kalau nak ulas pasal persaingan, saya rasa benda-benda macam ini menyihatkan untuk peniaga-peniaga macam kami lebih semangat nak jual produk sendiri," jelasnya.

Lima Karnival JCorp bermula Jumaat di Muar

Wilayah - Utusan Online

Lima Karnival JCorp bermula Jumaat di Muar

KAMARUZZAMAN ABU KASSIM (tengah) menunjukkan logo rasmi Karnival

JOHOR BAHRU 13 April – Johor Corporation (JCorp) akan menganjurkan lima siri Karnival JCorp 2015 tahun ini dalam usaha membawa pelbagai maklumat kepada rakyat mengenai aktiviti perniagaan, penyertaan dalam pembangunan negeri serta tanggungjawab korporat yang dilaksanakan konglomerat negeri itu sejak ia ditubuhkan 45 tahun lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, siri pertama karnival diadakan di Dataran Tanjung Emas, Muar pada 17 hingga 19 April ini disusuli Dataran Segamat (22 hingga 24 Mei), Dataran Kluang (5-7 Jun), Dataran Kota Tinggi (7-9 Ogos) dan kemuncaknya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (6-8 November).

"Pelancaran Karnival JCorp 2015 dijangka disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika baginda berangkat menghadiri Majlis Jamuan Minum Teh dan Penyampaian Sumbangan/Bungkusan sempena Sambutan Kemahkotaan Sultan Johor Peringkat Daerah Muar pada jam 2.45 petang, 18 April 2015.

"Sempena sambutan Kemahkotaan Sultan Johor juga, semua siri Karnival JCorp 2015 akan menyediakan ruang khas bagi mempamerkan maklumat dan sejarah kemahkotaan serta penglibatan Sultan Johor dalam menarik pelaburan dan mewujudkan sistem tadbir urus negeri yang sebahagian kerangkanya terus diguna pakai sehingga hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Karnival JCorp 2015 di Menara KOMTAR JBCC, di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi JCorp, Zulkifli Ibrahim dan Pengurus Besar Perhubungan dan Komunikasi Korporat JCorp, Azman Tambi Chik.

Menurut Kamaruzzaman, karnival turut menampilkan pameran Pelan Suara Hati Johor yang disediakan Pejabat Menteri Besar Johor bagi membolehkan rakyat berkongsi aspirasi mengenai inisiatif kerajaan negeri merakyatkan pentadbiran serta mengutamakan keperluan rakyat dalam pembangunan dan prasarana awam di Johor.

"Segmen pameran Kumpulan JCorp pula melibatkan bisnes teras, pendidikan, bisnes intrapreneur, aktiviti tanggungjawab korporat, program keusahawanan sosial dan kebajikan waqaf, serta penyertaan organisasi bisnes amal (OBA) termasuk Koperasi Perbadanan Johor Berhad (KOPJCORP), MUTIARA Johor Corporation, Kulim Wildlife Defender (KWD) dan Women Onwards (WOW).

"Karnival JCorp 2015 adalah inisiatif 21 syarikat dalam kumpulan yang turut melibatkan aktiviti dengan pengunjung, promosi produk dan servis selain jualan serta demonstrasi kesihatan serta masakan selain melibatkan jualan oleh lima peserta industri kecil dan sederhana (IKS) Daerah Muar," katanya lagi.

Tambah beliau, dalam karnival tersebut, KFC dijangka menawarkan hampir 1,000 jawatan kosong di cawangan restoran itu di seluruh negara manakala lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang membina kerjaya dengan mengambil pelbagai kursus yang ditawarkan KPJ Healthcare University College (KPJUC) dan KFCH International College.

Ujar Kamaruzzaman, MUTIARA JCorp juga akan menyerahkan dua katil pesakit dan 10 kerusi roda serta barangan elektrik untuk wad pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Majlis Jamuan TEh dan Penyampaian Sumbangan/Bungkusan sempena Sambutan Kemahkotaan DYMM Sultan Johor Peringkat Daerah Muar.

"Turut memeriahkan acara sepanjang tiga hari karnival adalah berjalan 10,000 langkah, persembahan ghazal dan buskers, pertandingan kompang dan samrah. Astro pula akan menampilkan empat personaliti program realiti iaitu Imam Muda Omar Mohd. Mokhtar dan Pencetus Ummah Salman Maslori serta Ropie dan Bell daripada program Maharaja Lawak," katanya.

Kenapa Izara Aishah kurus?

Hiburan - Utusan Online

Kenapa Izara Aishah kurus?

13 April 2015 8:48 PM

Izara Aishah dan Adib Khalid kini lebih bersikap terbuka dalam
semakin hampir tarikh tayangan filem Pilot Cafe, semakin berdebar

KINI pelakon Izara Aishah Hisham, 23, tidak berselindung lagi dan berani mengaku yang dia memang bercinta dengan Adib Khalid, malah tidak kisah menghadiri majlis rasmi bersama.

Sewaktu konsert Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015, di Istana Budaya pada 7 April lalu, Izara turut hadir bersama Adib dan beberapa rakan yang lain sebagai tanda sokongan.

Menurut Izara, dulu dia tidak bersikap terbuka dalam soal cinta kerana pasangannya ketika itu bukan daripada bidang yang sama.

"Dulu lain, sekarang lain. Kali ini saya tidak dapat mengelak untuk sering bersama Adib dalam beberapa majlis kerana ada ketikanya kami mendapat undangan yang sama. Saya mengambil sikap terbuka agar orang tahu yang sekarang ini kami bersama (bercinta).

"Saya akui dulu saya lebih senang mendiamkan diri kalau ditanya soal cinta kerana kami berlainan bidang, agar sukar untuk dijelaskan. Apabila kita berada dalam bidang yang sama, jadi masing-masing faham tugas. Sekarang ini pun saya dan Adib jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk. Saya percaya dia, jadi tidak perlulah berjumpa setiap hari," jelasnya sewaktu ditemui sebaik sahaja selesai persembahan Siti Nurhaliza.

Dapat dilihat yang Izara cukup bahagia tatkala menjalin hubungan cinta dengan Adib yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Studios/Tune Records dan buat masa ini belum ada perancangan ke fasa seterusnya.

Kata Izara, dia sekarang nak tumpu perhatian pada kerjaya dan soal jodoh itu terserah kepada Allah SWT.

"Tidak ada perancangan tertentu. Kalau ada jodoh dalam waktu terdekat ini, saya terima sahaja. Apa pun saya lebih senang biarkan takdir menentukan segalanya. Saya percaya, kalau sudah sampai serunya, kahwinlah saya nanti," katanya tersenyum.

Dalam melayari kebahagiaan dunia percintaan itu, wajah Izara kelihatan kurus daripada biasa. Bila diaju kenapa kelihatan kurus, kata Izara, dia dipaksa menguruskan diri bagi menampakkan wataknya dalam filem Kau Yang Satu kelihatan lebih jelita.

"Pengarah Osman Ali yang suruh saya kuruskan badan ini. Setakat ini saya berjaya turunkan badan sebanyak 5 kilogram daripada 54 kilogram. Ini pun kata abang Osman tidak cukup lagi, perlu turun lagi. Untuk menurunkan berat badan, saya kini sering menjalani latihan di gimnasium walaupun tidak begitu disiplin seperti orang lain.

"Sebenarnya, saya ni jenis yang suka makan. Bila kena turunkan berat badan, rasa perit juga. Tak apa nanti habis filem ini saya gemukkan badan balik," katanya tersenyum.

Biarpun cerita tentang kerjayanya kini kurang berbanding kisah cinta dengan Adib, namun dalam diam Izara tidak pernah putus daripada menerima tawaran berlakon.

Dia baru saja selesai penggambaran drama 26 episod, Mr London Ms Langkawi arahan Nizam Zakaria, terbitan Global Station, dengan watak Liyana.

Menurut Izara, dia tidak menghadapi masalah berlakon dengan Zul Ariffin sebagai Aidid kerana mereka saling membantu ketika di lokasi penggambaran.

Namun yang membuatkan dia tertekan sekarang adalah menunggu reaksi penonton tatkala filem Pilot Cafe arahan Osman Ali disiarkan di pawagam pada 30 April ini.

Filem pertama yang menampilkan dia sebagai pelakon utama, Pilot Cafe yang bakal ditayangkan di pawagam pada 30 April ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya.

"Saya pegang watak Maya. Semakin hampir tarikh tayangan, semakin tertekan saya. Bukan apa, saya takut tidak dapat memenuhi harapan orang ramai. Saya telah cuba lakukan yang terbaik untuk menjayakan watak Maya itu," jelasnya.


Saya anak Jins - Hang Tuah

Hiburan - Utusan Online

Saya anak Jins - Hang Tuah

14 April 2015 2:00 PM

HANG TUAH menunjukkan sijil kelahirannya dan artikel yang dikeluarkan

KENYATAAN yang dibuat Puan Sri Halijah Abdullah, 56, kepada Utusan Malaysia awal tahun ini didakwa mengelirukan ramai pihak. Halijah menafikan dakwaan bahawa suaminya, Tan Sri Jins Shamsudin, 80, mempunyai empat anak melalui tiga perkahwinan.

Tegas Halijah, tokoh perfileman negara itu hanya dikurniakan tiga anak lelaki sahaja iaitu, seorang hasil perkahwinan pertama dengan pelakon Allahyarham Rahmah Rahmat dan dua orang lagi daripada perkahwinan Jins dengannya.

Berikutan itu, seorang lelaki bernama Hang Tuah atau Shazrin, 41, tiba-tiba mengaku bahawa dirinya adalah anak kedua kepada Jins, sekali gus menangkis penafian yang dibuat Halijah.

Hadir tenang dalam satu sidang akhbar yang diadakan di PNB Darby Park, Kuala Lumpur, Jumaat lalu, Hang Tuah tampil bersama dua peguamnya iaitu, Saiful Adli Mohd Arshad dari Tetuan Saiful Arshad & Co dan Abdul Malik Mokhtar dari Tetuan Abdul Malik Zamri & Co.

HITS: Boleh jelaskan tujuan sidang akhbar pada hari ini?

HANG TUAH: Hari ini saya mahu memberi respons langsung kepada kenyataan oleh Puan Sri Halijah yang mengatakan Tan Sri Jins hanya mempunyai tiga orang anak seperti yang disiarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 6 Februari 2015.

Saya ingin memperbetulkan fakta dan menjelaskan kepada umum bahawa kenyataan Puan Sri Halijah adalah tidak tepat. Ini adalah tanggungjawab saya untuk memastikan fakta sebenar diketahui memandangkan ayah (Tan Sri Jins) kurang sihat dan tidak berupaya untuk memberitahu segalanya.

Maksudnya Hang Tuah juga anak Tan Sri Jins?

Ya, saya juga anak Tan Sri Jins yang sah. Saya adalah anak kedua ayah dengan ibu saya, Jamilah Sukor. Ayah dan ibu berkahwin pada tahun 1973 di luar negara sebelum bercerai empat tahun kemudian.

Apa yang boleh membuktikan kesahihan perkara itu?

Dalam buku Suria Kencana biografi Jins Shamsudin, tulisan Mohd. Zamberi A. Malek pada tahun 1998, ada tertulis mengenai perkahwinan kedua Tan Sri Jins dengan Jamilah Sukor. Buku yang diterbitkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga menyatakan bahawa mereka mempunyai seorang anak bernama Hang Tuah @ Shazrin iaitu saya.

Apabila Puan Sri Halijah mengeluarkan kenyataan dengan merujuk kepada artikel berjudul Jins Shamsudin hanya ada tiga anak, dia telah menafikan fakta sebenar dan menyangkal kewujudan saya sebagai anak Tan Sri Jins. Perkara ini, bagi saya telah menyangkal hak dan nama baik ibu saya, Jamilah.

Saya juga agak terkilan setelah 30 tahun mengenali beliau. Saya tidak pasti sama ada Puan Sri Halijah tahu saya anak kepada suaminya atau tidak. Cuma saya minta, dia menerima kenyataan bahawa saya adalah anak kedua Tan Sri Jins.

Selain itu, ada bukti lain?

Mengenai status diri saya, memang terbukti bahawa saya adalah anak Tan Sri Jins yang sah di sisi undang-undang. Saya membuktikannya dengan sijil lahir yang saya miliki (No Daftar: C643127).

Dengan penjelasan ini, saya berharap isu yang ditimbulkan akan selesai dan saya tidak berniat untuk memanjangkan isu ini.

Pernah berjumpa dengan ayah (Tan Sri Jins)?

Kali terakhir saya berjumpa ayah adalah pada tahun 2011. Sejak itu, kami tidak lagi bertemu. Sebab apa saya tidak berjumpa ayah, biarlah saya simpan kerana tidak mahu aibkan sesiapa.

Saya juga mengaku kurang rapat dengan ayah dan tidak mahu ibu tiri menggunakan alasan itu sehingga tidak mengiktiraf saya sebagai anak ayah.

Saya dibesarkan oleh kakak kandung ayah, Hazizon Shamsudin, 82, di Taiping, Perak. Walaupun ayah tidak menjaga, saya tetap anaknya dan dia (ayah) menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

Harapan Hang Tuah?

Tiada yang lain saya minta, sudah semestinya mahukan ibu tiri memperbetulkan kenyataan yang dibuatnya. Bagi saya, perkara itu telah mencalarkan imej saya sendiri.

Monday, April 13, 2015

Bukan kerana Eksperimen Cinta

Selebriti - Utusan Online


Bukan kerana Eksperimen Cinta

IZREEN percaya, tindakannya untuk berhijab dalam masa terdekat tidak akan menutup pintu rezekinya da

PENAMPILAN pelakon Izreen Azminda yang mengenakan hijab baru-baru ini menimbulkan tanda tanya banyak pihak.

Lebih-lebih lagi, peminat yang mengikuti perkembangan semasa pelakon Kerana Terpaksa Aku Relakan itu menerusi akaun Instagram miliknya.

Bicara aktres berusia 30 tahun itu, dia sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk bertudung tetapi disebabkan komitmen lakonan yang begitu padat, maka dia terpaksa melupakan hajat itu seketika kerana tidak mahu menyusahkan banyak pihak.

"Tidak dinafikan selepas bergelar isteri, saya selalu diberikan watak baik dan disuruh bertudung. Disebabkan itu jugalah, lama-kelamaan saya semakin selesa dengannya dan semakin terbuka hati untuk berhijab.

"Saya yakin, tindakan bertudung tidak akan menutup pintu rezeki dalam industri lakonan kerana rezeki seseorang itu sudah ditentukan oleh Allah SWT berdasarkan usaha dan doanya," katanya yang menafikan tujuan berhijab itu adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan watak dalam drama terbaharunya, Eksperimen Cinta.

Jelasnya yang bergandingan dengan aktor kacak, Fahrin Ahmad dalam drama tersebut, jika dia takut periuk nasinya dalam bidang lakonan tertutup selepas bertudung, maka sampai bila-bila pun dia akan gagal bertudung.

Tambah ibu tunggal kepada Adrian Umar, 2, itu, sungguhpun begitu, dia masih belum bertudung sepenuhnya, tetapi dalam proses untuk mengenakan hijab dengan sempurna dalam masa terdekat ini.

"Insya-Allah, jika tidak ada aral melintang dan diizinkan Allah SWT, saya akan menutup aurat sepenuhnya selepas menjalani penggambaran Eksperimen Cinta yang dijangka tamat pada penghujung bulan ini.

"Bukan tidak serius, tetapi saya masih ada tuntutan watak yang memerlukan saya membuka tudung," ungkap Izreen yang mengharapkan sokongan peminat agar kuatkan hatinya menempuh fasa baharu dalam hidupnya.

Bercerita mengenai drama terbaharu yang akan mengisi slot Dahlia di TV3 itu, pelakon yang diberikan watak Damia Farisha itu mengakui seronok apabila mendapat peluang bergandingan dengan Fahrin Ahmad.

"Saya sangat selesa dan bertuah dapat bergandingan dengannya. Dia amat membantu dan tidak lokek memberikan tunjuk ajar," akhiri Izreen.

.com difahamkan, selain Izreen dan Fahrin, drama bersiri 20 episod itu turut diterajui aktres yang semakin meningkat naik, Faye Kusyairy. – DHIYA'ZULHILMI DAUD/ SHIDDIEQIIN ZON



It's me. 

Astro bekukan Zizan

Hiburan - Utusan Online

Astro bekukan Zizan

MISS J mendapat tahu pihak Astro sekarang ini telah 'memperlahankan' penampilan Zizan Razak di stesen itu. Atau dalam bahasa mudah Zizan khabarnya dibekukan untuk sementara waktu. Miss J pun risik-risik sebab dia dibekukan di stesen itu.

ZIZAN Razak semasa hadir ke ABP 2014 di Pusat Konvensyen Putrajaya.

Tapi yang lebih membuatkan Miss J terkejut apabila tiba-tiba pula nama Zizan dikatakan pelawak yang buat kerja tak senonoh dengan peminat wanita. Ini ekoran gosip panas dalam industri hiburan tentang seorang pelawak yang meminta gambar lucah peminat.

Miss J tidak percaya Zizan pelawak yang dimaksudkan kerana takkanlah Zizan tak tau kesannya. Apa lagi dia orang popular. Tapi di laman sosial khabarnya ada tersebar print screen benda tak senonoh itu.

Dalam kolum Apa Cerita pula, pelawak Tauke menafikan dia pelawak kasanova yang dimaksudkan. Tapi yang menariknya Tauke mendakwa tahu dan kenal dengan pelawak kasanova tersebut.

Tapi kawan Miss J tak dapat menghubungi Zizan untuk mendapat komen mengenai perkara ini. Khabarnya Zizan berada di luar negara, di Indonesia.

Miss J fikir Zizan perlu tampil membuat penafian untuk mengelakkan daripada terus difitnah sebagai pelawak kasanova tersebut. Zizan juga kena menjawab dan menjelaskan bahawa print screen yang tersebar itu bukan daripadanya.

Pada era teknologi maklumat di hujung jari sekarang ini, fitnah boleh dilakukan dan disebarkan dengan begitu mudah. Miss J anggap Zizan difitnah dan tanggungjawab Zizan ialah membersihkan namanya dari fitnah tersebut.

Zizan juga kena menjelaskan dakwaan dia dibekukan oleh Astro buat sementara waktu. Sebagaimana yang diketahui ramai, Zizan mengacara banyak program di Astro tapi tiba-tiba macam sunyi saja tak nampak kelibat Zizan.

Kadang-kadang pengacara popular macam Zizan tentulah penat dan mereka berehat. Ini pun membuatkan orang menganggap mereka kena beku. Sebab itulah kena jelaskan dan jangan lupa menafikan isu print screen itu.

Zizan juga kena menjelaskan dakwaan dia dibekukan oleh Astro buat sementara waktu. Sebagaimana yang diketahui ramai, Zizan mengacara banyak program di Astro, tapi tiba-tiba macam sunyi saja tak nampak kelibat Zizan.